Baju ski


Baju ski (Jawi: باجو سكي)[1] (ski suit) atau sut ski (Jawi: سوت سكي) adalah pakaian yang direka untuk dipakai di luar pakaian lain semasa bermain ski atau papan salji.[2] Baju ski yang dibuat untuk kegunaan santai musim sejuk di luar rumah juga boleh dipanggil sebagai baju salji (Jawi: باجو ثلجي) (snowsuit) atau sut salji (Jawi: سوت ثلجي),[2] dan sering digunakan oleh kanak-kanak sebagai pakaian luar harian pada musim sejuk.[3][4] Sesetengah persalinan dibuat khusus untuk peluncur papan salji, tetapi kebanyakannya digunakan oleh peluncur ski mahupun peluncur papan salji tanpa mengira gayanya.
Reka bentuk
[sunting | sunting sumber]Baju ski boleh didapati sama ada dalam bentuk sekeping (one-piece) seperti jumpsut, atau dua keping (two-piece) yang terdiri daripada jaket ski dan seluar yang sepadan, yang dipanggil salopettes atau seluar ski.[5] Baju ski diperbuat daripada fabrik kalis angin dan rintang air atau kalis air, serta mempunyai lapisan dalam tetap yang diperbuat daripada nilon, sutera, kapas atau taffeta. Fungsi utamanya adalah untuk memastikan seseorang kekal hangat semasa menyertai sukan musim sejuk, terutamanya ski Nordik (merentas desa) atau Alp (menuruni bukit). Ia secara amnya merupakan pakaian uniseks. Baju ski bertujuan untuk dipakai dengan lapisan asas, yang terdiri daripada long johns dan baju panas, biasanya direka khas untuk aktiviti berski. Baju ski sering diperbuat daripada Gore-Tex atau bahan yang serupa. Ia biasanya dihasilkan dalam bentuk shell suit, di mana peluncur ski akan menambah pakaian dalam yang lebih tebal atau nipis bergantung pada cuaca. Poket pada baju ini selalunya dibuat supaya kalis air agar barangan di dalamnya kekal kering.
Baju ski sekeping
[sunting | sunting sumber]Baju ski sekeping kadangkala dipanggil sebagai freedom suit. Ia menutupi seluruh bahagian badan, lengan, dan kaki. Pakaian ini biasanya mempunyai satu atau dua zip di bahagian hadapan, yang kadangkala ditutup tambahan dengan lipatan velkro atau butang, dan sering mempunyai tali bawat pada bahagian pinggang. Kadangkala, baju ini dilengkapi dengan tali bawat terbina dalam di bahagian dalam untuk sokongan tambahan.
Baju ski sekeping selalunya dibuat sebagai lapisan (shell layer) sahaja, di mana peluncur ski akan menambah pakaian dalam panas mengikut pilihan sendiri berdasarkan keadaan cuaca semasa. Baju lain mungkin mempunyai pelapik untuk kehangatan, namun bagi tujuan berski, ia biasanya tidak mempunyai penebat setebal baju kereta salji (snowmobile suit). Gaya baharu baju ski jenis lapisan lembut (soft-shell) mula popular pada tahun 2000-an. Ia dianggap sebagai pilihan yang lebih kemas dan bergaya, dengan lebih keanjalan, kehangatan, dan keselesaan berbanding fabrik hardshell (lapisan keras), sambil mengekalkan tahap rintangan air, rintangan angin, dan kebolehtelapan udara yang tinggi. Baju baharu ini mempunyai penebat dengan lapisan belakang bulu biri-biri, bagi mengelakkan saiz yang terlalu besar seperti baju salji berisi bulu pelepah (down filled), namun tetap memberi ruang untuk pemakaian berlapis. Ia juga cenderung untuk lebih mampu milik berbanding baju lapisan keras Gore-Tex.[6][7]
Baju ski skeeping yang pertama dikatakan telah direka oleh peluncur ski Olimpik dan pereka fesyen Itali, Emilio Pucci, pada akhir 1940-an.[8]
Baju lumba
[sunting | sunting sumber]Sering dirujuk sebagai baju lumba (race suits) atau sut laju, ini adalah baju yang dipakai oleh pelumba profesional dan remaja semasa pertandingan untuk meningkatkan kelajuan mereka. Kebanyakannya dibuat dalam bentuk baju sekeping. Diperbuat terutamanya daripada poliuretana (85-90%) dan poliester (10-15%), baju ini boleh mengurangkan rintangan angin sebanyak lima puluh peratus. Memandangkan rintangan angin merangkumi sembilan puluh lima peratus daripada daya yang menghalang peluncur ski daripada bergerak lebih laju, pemakaian baju ini berpotensi memberikan anda kelajuan hampir dua kali ganda. Baju ini sangat ketat dan mengikut bentuk badan serta mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan badan. Atlet Olimpik boleh mencapai kelajuan melebihi 160 km/j dengan baju lumba, manakala pelumba remaja mungkin sukar untuk melepasi 80 km/j tanpanya.[perlu rujukan] Kos baju ini berkisar antara $210 (RM820) untuk baju pemula sehingga $1,200 (RM4,700) bagi baju yang biasanya dipakai oleh atlet Olimpik.
Baju ski jenis ini bukanlah pakaian uniseks kerana ia perlu sangat ketat pada kulit dan saiznya mestilah tepat untuk menjadi berkesan. Kebanyakan atlet memakai lapisan asas di bawah baju mereka, tetapi sesetengahnya mungkin hanya memakai baju lumba tersebut pada hari perlumbaan, kerana lapisan asas akan mengurangkan sedikit kecekapan baju tersebut.
Baju ski dua keping
[sunting | sunting sumber]Jaket ski
[sunting | sunting sumber]Jaket ski menutupi bahagian lengan dan badan, kadangkala hanya takat pinggang manakala pada waktu lain labuhnya mencecah ke bawah punggung. Ia boleh menjadi item berasingan atau sebahagian daripada baju ski dua bahagian bersama-sama dengan seluar ski yang sepadan.
Sejak pengenalan jaket ski pada pertengahan hingga akhir 1950-an sehingga awal 1980-an, gaya yang dominan bagi jaket ski adalah menyerupai jaket safari yang mempunyai tali pinggang dan kolar seakan kemeja yang serupa. Jaket yang serupa, terutamanya yang mempunyai penutup kepala, juga boleh dipanggil sebagai parka, anorak, jaket gelembung (down jacket) atau baju lapisan musim sejuk (winter shell).
Seluar ski
[sunting | sunting sumber]Seluar ski, yang juga dipanggil salopettes, apabila menjadi sebahagian daripada baju ski dua bahagian, biasanya diperbuat daripada fabrik dan warna yang sama dengan jaket ski yang sepadan. Ia kadangkala dalam bentuk bib-and-brace (seluar berbibit dan bergalas) dan jaket dipakai di luarnya.
Acara baju salji
[sunting | sunting sumber]
Di Amerika Utara, terdapat banyak rangkaian badan amal yang menyediakan baju salji untuk musim sejuk kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.[9][10]
Baju ski dan baju salji adalah bahagian semula jadi bagi sesetengah acara sukan. Terdapat juga beberapa acara yang menekankan penggunaan baju salji itu sendiri. Di festival muzik luar musim sejuk tahunan Igloofest di Montreal, Kanada, terdapat pertandingan untuk pemakai baju sekeping.[11]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ↑ "Carian Umum: ski". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 16 Februari 2026.
- 1 2 "Definitions for ski suit". Definitions.net (dalam bahasa Inggeris). STANDS4 LTD. Dicapai pada 16 Februari 2026.
- ↑ Definition of snowsuit at The Free Dictionary. Accessed September 1, 2013.
- ↑ Definition of snowsuit at Audioenglish. Accessed September 1, 2013.
- ↑ "Showroom for ski suit". Alibaba.com (dalam bahasa Inggeris). Alibaba Group. Dicapai pada 16 Februari 2026.
- ↑ "REVIEW: Snowboarder's top gear! [Cool of the Wild]" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-09.
- ↑ "Why One Piece Ski Suits are back in Style" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-09.
- ↑ "The History of the One Piece Ski Suit". Snow-Point (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 16 Februari 2026.
- ↑ "The Snowsuit Effort". snowsuit.net (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 16 Februari 2026.
- ↑ "The Snowsuit Fund". snowsuitfund.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 16 Februari 2026.
- ↑ Maklumat pertandingan "One-piece" dan sesi penggambaran